Siri VCD ini terbit pada tahun 2008 dulu hasil kerjasama antara Allahyarham lagenda gitar Samad dengan syarikat FMC Music Sdn Bhd dan dengan penaja The Guitar Store.
Setiap volume VCD ini ada dua disc dan memberi tutorial solo lead gitar untuk solo lagu-lagu penting dalam perjalanan seni Samad. Ketiga-tiga volume VCD ini masing-masing ada tutorial untuk lima lagu. Volume 2 & 3 juga memuatkan satu lagu bonus “live jamming”.
Ini senarai lagu yang diajar mengikut volume masing-masing:
Vol. 1:
- Memburu Rindu (Hattan)
- Kenangan Bersamamu (Lefthanded)
- Rozana (Search)
- Lamunan Terhenti (Aris Ariwatan)
- Kisah Kau Dan Aku (Alleycats)
Vol 2:
- Debunga Wangi (Lefthanded)
- Sampai Hati (Spring)
- Nur Kasih (Slam)
- Musibah (Sweet Charity)
- Mahligai Syahdu (Hattan)
- BONUS: Live Jamming – Ku Di Halaman Rindu (Lefthanded)
Vol. 3:
- Sejuta Wajah (Sweet Charity)
- Ku Di Halaman Rindu (Lefthanded)
- Suci (May)
- Dunia Perlumbaan (Sweet Charity)
- Usang (Rahim Maarof)
- BONUS: Live Jamming – Dunia Perlubaan (Sweet Charity)
Keseluruhan Volume 1 boleh ditonton di YouTube di laman rasmi syarikat rakaman FMC:
Audio versi “jamming” dalam VCD ini juga ada di Spotify.
Setiap lagu diajar secara “note by note”, maksudnya beliau mengajar apa note yang dimainkan satu demi satu, setiap frasa yang dimainkan. Ini termasuk “scale runs” yang laju diajar secara perlahan supaya kita boleh mengikuti apa yang dimainkan. Allahyarham Samad juga menamakan setiap note yang dimainkan termasuk dengan artikulasi (slide, hammer-on, pull-off, bends) yang dimainkan.
Video-video ini penting kerana kita bukan saja dapat belajar solo lead gitar Samad, tapi juga dapat melihat dan kaji “fingering” serta “phrasing” beliau. Close-up dalam video-video ini memberi kita peluang tengok dan dengar “vibrato” beliau juga.
Dari segi penjelasan teori, beliau mulanya cuma menyatakan note yang dimainkan tapi dalam tutorial Mahligai Syahdu (Hattan), beliau menyatakan arpeggio dan harmonic minor scale yang digunakan dalam lagu itu.
Video yang dipamerkan dalam format “picture in picture” yang membolehkan kita melihat kedua belah tangan beliau sambil picking dan juga apa chords/lead yang dimainkan. Saya amat mengagumi “touch” beliau dan pilihan fingering untuk setiap bahagian solo lead.
Walaupun tumpuan video ini pada permainan solo lead gitar beliau, kita juga berkesempatan belajar chords yang dimainkan dan juga rhythm strumming untuk lagu-lagu ini.
Video bonus Live Jamming – Ku Di Halaman Rindu (Lefthanded) yang disertakan pada bahagian akhir Disc 2, Volume 2 juga satu bonus menarik kerana bahagian lain video semua ada Allahyarham Samad seorang. Ada juga segmen “bloopers” dan di belakang tabir disertakan.
Daripada segi cabaran belajar part lead gitar, pada pendapat saya barangkali solo dalam “Dunia Perlumbaan (Sweet Charity)” antara yang paling panjang dan mencabar dalam siri ini.
Volume 2 & Volume 3 terbit setelah pemergian Allahyarham Samad, jadi boleh dikatakan karya terakhir beliau dalam bidang seni.
Kesimpulannya, kepada yang meminati permainan gitar Allahyarham Samad untuk mendapatkan siri VCD ini untuk rujukan dan pembelajaran. Tak banyak produk sebegini diterbitkan sebenarnya!
Kepada yang mungkin tak ada VCD player atau komputer dengan CD drive, bolehlah sekurang-kurangnya tengok volume pertama tu di YouTube.
Pros: Video & audio dirakam secara professional dengan close-up dan penjelasan secara “step-by-step” sesuai untuk belajar solo lead gitar nukilan gitaris lagenda Samad. Juga ada booklet dengan chord rujukan. Video “jam” yang disertakan juga memberi peluang belajar keseluruhan chords lagu.
Cons: Tiada nota dalam bentuk “standard notation” atau “tabs” disertakan. Semua tutorial dalam video. Sebenarnya ini bagus untuk pembelajaran, tapi kepada harapkan ada “tabs”, harap maklum!
TLDR: Ini satu dokumen penting dalam sejarah gitar Malaysia. Kepada yang meminati permainan gitaris Samad, saya cadangkan beli siri VCD ini sementara stok masih ada di pasaran.
Mana nak beli ni?
Anda boleh cuba dapatkan VCD ini melalui laman web rasmi syarikat rakaman FMC atau di Shopee atau Lazada.
Suka post ni?
Jemput Langgan #SuratMuzik SETIAP HARI untuk baca cerita muzik, tips gitar & kerjaya muzik serta pelbagai perihal BEHIND THE SCENES yang saya tak kongsi kat tempat lain.
Free pun, kat sini GRATIS: http://suratmuzik.com/